Pages

Sunday 5 February 2012

Sabar+Syukur=Mukmin

Hati jadi sakit, jika 3 hari tidak menuntut Ilmu islam dan jika 40 hari, hati jadi “mati” kerana ia makanan rohani kita.                                                  

                                           اللهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Ya Allah, bantulah aku untuk mengingatiMu, bersyukur kepadaMu, dan beribadah dengan baik kepadaMu.” ( Abu Daud, disahihkan al-Albani)


Setiap insan tidak dapat lari daripada kesusahan hidup dan musibah sama ada berupa penyakit, kemiskinan, kehilangan orang tersayang dan sebagainya. Musibah ini sebenarnya adalah ujian dari Allah untuk menguji hambaNya. Allah ta’ala berfirman:


“Dan sungguh Kami benar-benar akan menguji kamu dengan sedikit rasa takut, kelaparan, dan kekurangan harta, hilangnya jiwa, dan sedikitnya buah-buahan. Maka berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengatakan; Sesungguhnya kami ini milik Allah dan kami akan kembali kepada-Nya. Mereka itulah orang yang mendapatkan ucapan salawat dari Rabb mereka dan curahan rahmat, dan mereka itulah orang-orang yang mendapatkan petunjuk.” (Surah al-Baqarah : 155-157).


Sikap seorang mukmin bila menghadapi musibah ialah reda dan menerimanya sebagai ujian dari Allah. Dia menerima ketentuan Allah dengan hati yang lapang dan berserah diri kepada Allah. Din memanfaatkan musibah tersebut sebagai peluang untuk mendapat ganjaran pahala dan keampunan Allah. Sabda nabi saw yang bermaksud :


“Tidaklah ada suatu musibah yang menimpa seorang muslim melainkan Allah akan menghapuskan dosa dengannya walaupun duri yang menusuk badannya.” (Imam al-Bukhari dan Muslim).


Allah menguji hambaNya mengikut kadar kemampuan hambaNya. Satu ketika Nabi saw ditanya “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?”. Maka beliau menjawab:


“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.” (HR. Tirmidzi, hasan sahih)


Namun demikian berdoalah agar tidak diuji dengan ujian yang tidak mampu kita pikul. Allah merakam doa ini dalam al-Quran agar kita mengamalkannya,iaitu doa yang seringkali kita baca :


          رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir”. (al-Baqarah:286)


Sabar mempunyai tiga jenis iaitu sabar dalam menjalankan ketaatan, sabar dalam menjauhi kemaksiatan dan sabar dalam menghadapi musibah dan takdir Allah.


Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada kita dengan menjadikan kita hambaNya yang sentiasa bersyukur dan sentiasa sabar dalam menempuh cabaran dan ujian kehidupan.